PEMBIAYAAN PERNIAGAAN
Program ini bermatlamatkan untuk menambah serta mempertingkatkan tahap urusniaga bumiputera dalam perdagangan dan perindustrian kecil dan sederhana melalui penyediaan kemudahan pembiayaan kewangan secara Islam dan bebas dari riba.
JENIS PEMBIAYAAN
1. Pembiayaan Am

Pembiayaan meliputi semua projek-projek perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan.

2. Pembiayaan Pewujudan Usahawan

Khusus untuk usahawan yang telah mengikuti Latihan Pembentukan Usahawan MARA atau bekas peserta tetap Inkubator.

3. Pembiayaan Kontrak

Kemudahan pembiayaan bagi membiayai kerja-kerja kontrak binaan, bekalan dan perkhidmatan.

4. Pembiayaan Kemudahan Tetap Kontrak

Pemborong Bumiputera yang terlibat dalam kerja-kerja kontrak pembinaan, bekalan dan perkhidmatan akan disediakan satu kemudahan tetap yang menyerupai kemudahan'overdraft terhad kepada maksimum RM 250,000.00 yang akan digunakan apabila memperolehi sesuatu kerja.

5. Pembiayaan Profesional

Pembiayaan ini adalah untuk ahli badan-badan profesional yang hendak memulakan perniagaan sendiri atau memperbesarkan perniagaan sedia ada.

6. Pembiayaan Pengangkutan

Pembiayaan untuk membeli kenderaan bagi tujuan menjalankan perniagaan dalam bidang pengangkutan.

7. Pembiayaan Khas Pembuatan Dan Francais

Pembiayaan khusus bagi projek-projek menggunakan teknologi tinggi dengan memberi keutamaan kepada projek-projek pembuatan dan francais.

8. Pembiayaan Perniagaan Kecil

Skim ini disediakan bagi membantu peniaga-peniaga kecil bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan dengan cara dan syarat yang lebih mudah.

9. Pembiayaan Perniagaan Usahawan Teknikal

Pembiayaan untuk lepasan IKM, GIATMARA dan lain-lain institusi latihan teknikal untuk memulakan perniagaan berkaitan dengan latihan kemahiran mereka iaitu setelah mengikuti Program Usahawan Teknikal.

KAEDAH PEMBIAYAAN DAN KEGUNAAN
1. Al-Bai-Bithaman Ajil
Bermaksud 'Jualan Dengan harga Tertangguh'. Pembiayaan di bawah kaedah ini boleh digunakan untuk semua bentuk perniagaan meliputi memberli harta tetap, keperluan modal kerja, belanja mengurus dan jaminan bank.

2. Al-Murabahah
Bermaksud 'Jualan Dengan Tambah Untung'. Pembiayaan di bawah kaedah ini boleh digunakan untuk membeli bahan mentah,barang-barang separa siap dan kelengkapan alat ganti.

3. Al-Ijarah

Bermaksud 'Pajakan atau Sewaan'. Kaedah ini digunakan bagi pelanggan-pelanggan yang memerlukan peralatan loji, mesen, kenderaan atau aset mudah alih dengan menyewa barangan tersebut daripada MARA. Setelah bayaran sewa diselesaikan, barangan berkenaan akan dipindahmilik kepada pelanggan.

4. Bai-al-Inah

Bermaksud 'menjual Sesuatu Barangan Dengan Harga Tangguh Kepada Pembeli'. Kaedah ini adalah untuk kegunaan belanja mengurus seperti membayar gaji, sewa premis, letrik dan air. Pembiayaan boleh berjalan bersendirian atau sebagai satu pakej dengan menggunakan kaedah
pembiayaan yang lain.

KELAYAKAN MEMOHON
  1. Warganegara Malaysia daripada keturunan Melayu atau Bumiputera lain, berusia 21 tahun ke atas.
  2. Mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang perniagaan yang dijalankan atau hendak diwujudkan.
  3. Perniagaan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
  4. Mempunyai lesen atau permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan tersebut.
  5. Dapat menyumbang modal sendiri tidak kurang daripada 10% dari kos projek.
  6. Usahawan hendaklah melibatkan diri sepenuh masa dalam perniagaan yang akan dibiayai.
  7. Mengemukakan cagaran atau jaminan bagi pembiayaan yang diperlukan.
  8. Pemohon yang belum menjalankan perniagaan atau telah menjalankan perniagaan kurang dari setahun perlu mengikuti Kurusus Keusahawanan anjuran MARA atau agensi-agensi lain yang setaraf. Sila rujuk kepada Pegawai MARA untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu. Pengecualian boleh diberi kepada pemohon-pemohon yang mempunyai kelulusan profesional atau pengkhususan dalam bidang pentadbiran perniagaan.
    HAD PEMBIAYAAN
    Skim
    Had Pembiayaan
    Skim Pembiayaan Am, Profesional, Pengangkutan, Mini Market dan Pewujudan Usahawan. Maksimum RM 250,000.00
    Skim Pembuatan Khas Pembuatan dan Francais RM 250,000.00 - RM 1,000,000.00
    Skim Pembiayaan Kontrak RM 600,000.00
    Skim Pembiayaan Tetap (Kontrak) RM 250,000.00
    Skim Pembiayaan Perniagaan Kecil Maksimum RM 10,000.00
    Skim Pembiayaan Usahawan Teknikal RM 50,000.00

CAGARAN ATAU JAMINAN

Menggunakan sama ada tanah atau penjamin seperti berikut:

1. Tanah

Pelanggan hendaklah mengemukakan tanah dengan nilai tidak kurang 50% daripada jumlah pembiayaan manakala bagi Pembiayaan kontrak pula nilai cagaran tidak kurang 20% daripada jumlah pembiayaan dan bagi Pewujudan Usahawan, nilai tanah tidak kurang 25% daripada jumlah pembiayaan.

2. Penjamin

Sekurang-kurangnya dua orang penjamin dengan gabungan jumlah pendapatan tetap bulanan mereka tidak kurang 10% daripada jumlah pembiayaan. Pendapatan minimum seorang penjamin tidak kurang daripada RM 500.00 sebulan.

Bagi Pembiayaan Kontrak pula dan Pewujudan Usahawan, jumlah gabungan pendapatan penjamin tidak kurang 5% daripada jumlah pembiayaan. Disamping itu bagi Pembiayaan Kontrak, jaminan tambahan iaitu menandatangani Surat Ikatan Serahak.

Bagi Pembiayaan Skim Pembiayaan Khas Pembuatan dan Francais, pemohon perlu menandatangani Perjanjian Debenture.



CARA MEMOHON

Pemohon hendaklah dibuat dengan menggunakan borang RP2 yang boleh diperolehi dari pejabat-pejabat MARA Negeri dan Daerah yang terdekat. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dimajukan ke Pejabat MARA Daerah berkenaan.

Borang RP2 ini hendaklah dikemukakan dengan menyertakan perkara-perkara berikut:

Salinan dokumen perniagaan seperti lesen/permit/surat persetujuan, perjanjian perkongsian (sekiranya syarikat perkongsian), Memorandum dan Tata Urus Peraturan (Syarikat Sdn. Bhd.) dan lain-lain yang berkaitan. Bagi permohonan pembiayaan RM 50,000.00 ke atas perlu menyertakan kertaskerja yang lengkap.

Permohonan yang lengkap boleh mendapat kelulusan dalam tempoh masa 30 - 50 hari.

Kelulusan sesuatu pembiayaan hanya sah laku dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat tawaran. Kelulusan tersebut dengan sendirinya akan terbatal jika pelanggan tidak dapat menyempurnakan dokumen-dokumen dan memenuhi syarat-syarat kelulusan dalam jangka masa tersebut.